Jangan tafsir Perlembagaan sewenang-wenangnya dalam isu Petronas-Petros, Ahli Parlimen diberitahu

Jangan tafsir Perlembagaan sewenang-wenangnya dalam isu Petronas-Petros, Ahli Parlimen diberitahu

Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca secara keseluruhan, bukan dipilih mengikut kepentingan politik.

oil rig petronas
Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak berkata negeri itu tidak berniat melemahkan atau menjejaskan Petronas, sebaliknya mahu menjalin kerjasama untuk bangun industri minyak dan gas. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen tidak sepatutnya memilih-milih fasal dalam Perlembagaan Persekutuan apabila membincangkan pertikaian antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kata sekumpulan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mereka menegaskan Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca secara menyeluruh dan bukan fasal yang menguntungkan dipilih demi kepentingan politik, lapor Dayak Daily.

Menurut mereka, Ahli Parlimen tidak boleh menggunakan Perkara 8(j) dalam Senarai Persekutuan bagi menyokong kawalan penuh kerajaan pusat terhadap minyak dan gas, sambil mengabaikan Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri yang memberi kuasa kepada negeri mengeluarkan lesen dan permit.

“Kedua-dua peruntukan ini saling berkait. Jangan tafsir Perlembagaan secara terpilih.

“Pertahankan ia sepenuhnya dengan kejujuran, kefahaman, dan semangat menghormati asas penubuhan negara,” kata Ahli Parlimen GPS dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Pasir Gudang, Hassan Karim, yang sebelum ini berkata pertikaian berterusan mengenai hak minyak dan gas Sarawak boleh menjejaskan kedudukan Petronas sebagai syarikat minyak nasional.

Ahli Parlimen GPS menegaskan Sarawak tidak berniat melemahkan atau menjejaskan Petronas sebaliknya mahu menjalin kerjasama berdasarkan semangat saling menghormati untuk membangunkan industri minyak dan gas demi manfaat semua.

“Petros bukan pesaing Petronas, tetapi rakan strategik yang memastikan operasi di Sarawak dijalankan secara mampan, telus dan untuk faedah rakyat tanpa menjejaskan kepentingan negara,” kata mereka.

Mereka turut menambah isu antara Petronas dan Petros bukan sekadar ‘pertelingkahan keluarga’, sebaliknya melibatkan persoalan undang-undang dan kuasa perlembagaan.

Petronas dan Petros yang dikuasai kerajaan Sarawak kini berbeza pandangan mengenai peranan sebagai pengumpul gas (gas aggregator) di negeri itu, selain terbabit dalam beberapa pertikaian undang-undang.

Sarawak mencabar penguasaan Petronas ke atas rizab minyak dan gas Malaysia seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974, yang memberi syarikat minyak nasional itu kawalan ke atas semua sumber hidrokarbon negara.

Ketika ini, Sarawak memiliki kira-kira 60% daripada rizab gas Malaysia dan menyumbang 90% kepada eksport gas asli cecair (LNG) negara.

Pada Mei lalu, kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak menandatangani deklarasi bersama berhubung pengagihan gas di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.