
Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd Dionysia Kibat berkata rancangan mengembangkan lagi portfolio syarikat dijangka dapat dimuktamadkan menjelang tahun depan.
“Kami baharu ‘setahun jagung’, masih baharu. Jadi masih banyak aset dan sumber boleh diperoleh,” katanya kepada FMT.
“Ketika ini, kami sedang menilai beberapa lagi peluang pengambilalihan dalam sektor huluan dan hiliran. Harapan kami, semuanya dapat dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang — sama ada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.”
Menurut Dionysia, semua usaha baharu dan strategi kepelbagaian syarikat akan dinilai berdasarkan tahap risiko bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
“Kami perlu pastikan kami mempunyai kekuatan, kemampuan dan kapasiti yang betul sebelum meneroka bidang lain.
“Jika cuba buat terlalu banyak perkara sekali gus mungkin berisiko hilang fokus, itu tidak baik untuk mana-mana syarikat,” katanya.
Perjanjian kerjasama komersial (CCA) antara kerajaan Sabah dan Petronas yang ditandatangani pada Disember 2021, di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, membuka ruang kepada negeri itu mendapat lebih banyak kuasa, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri O&G tempatan.
Kerajaan negeri kemudiannya menubuhkan SMJ Energy bagi merealisasikan peluang diperoleh melalui perjanjian itu, termasuk pegangan ekuiti dalam aset minyak dan gas.
“Kami bermula dengan modal permulaan RM50 juta pada 2023. Hari ini kami sudah membayar balik kepada kerajaan negeri sebanyak RM160 juta dalam bentuk dividen,” katanya.
Beliau menambah, syarikat milik penuh kerajaan Sabah itu kini memiliki aset bernilai RM4.9 bilion dan mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM307 juta pada 2024.
“Kami juga menyumbang kepada negeri melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Kami menjual minyak mentah dari Samarang dan walaupun kami syarikat milik kerajaan negeri, kami tetap membayar SST,” jelasnya.
Setakat ini, SMJ Energy telah membayar RM101 juta kepada kerajaan negeri menerusi SST.
Pada 2024, separuh daripada hasil kerajaan negeri datang daripada sektor minyak dan gas. Dana ini digunakan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah manakala SMJ Energy pula membantu membangunkan industri minyak dan gas tempatan.
“Hasil negeri meningkat dengan mendadak selepas CCA dimeterai. Sebelum ini, hasil tahunan hanya sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion. Tetapi selepas itu, ia melonjak kepada RM6.7 bilion, jumlah tertinggi setakat ini,” kata Dionysia.
“Jadi jelas pentingnya industri minyak dan gas kepada Sabah.
“Peningkatan hasil daripada sektor ini secara langsung memberi lebih banyak dana kepada kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” tambahnya.