
Gurdial Singh Nijar berkata keputusan itu mempunyai implikasi meluas kerana ia mengesahkan prinsip asasi iaitu doktor mempunyai hak membekal ubat tanpa campur tangan kerajaan, meskipun kes ini tertumpu pada ivermectin.
“Ia termaktub dalam Akta Racun, menyatakan doktor boleh beri ubat Kumpulan B. Hak itu tidak boleh ditarik selagi mana mematuhi protokol sewajarnya,” katanya pada sidang media.
Gurdial menceritakan bahawa sebelum penghakiman dibuat, doktor yang memberikan ivermectin diserbu di pejabat dan didenda RM5,000 selepas dituduh di mahkamah, kerana secara haram menjual ivermectin di bawah Akta Jualan Dadah.
Pada 3 Mac, sidang tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengesahkan doktor berhak membekal ivermectin kepada pesakit di bawah jagaan mereka.
Rayuan kerajaan bermula menyusuli saman pemula yang difailkan presiden Persatuan Perkembangan Perubatan Fungsional dan Interdisiplin Malaysia (Maafim) yang lalu, Dr S Vijaendran, dan ahlinya, Dr Che Amir Farid Che Isahak. Mereka berdua diwakili Gurdial.
Kes tercetus selepas pegawai Kementerian Kesihatan menyerbu klinik Che Amir di Ampang pada 2021, ketika kemuncak pandemik Covid-19.
Serbuan berkenaan susulan laporan oleh dua pesakit, yang tidak berkait dengan Che Amir, secara bersendiri membekal ivermectin dan didakwa mengalami keracunan akut dan kesukaran bernafas.
Pegawai merampas ivermectin didapati di klinik itu, atas alasan ia bukan produk berdaftar. Mereka juga mendakwa doktor tersebut tidak dibenarkan secara sah menjual atau membekal ubat berkenaan.
Justeru, Che Amir dituduh di Mahkamah Majistret kerana menjual dan membekal ubat tersebut. Kes masih berjalan, dengan pendengaran seterusnya di Mahkamah Majistret Ampang, pada 20 Mac.
“Saya tahu ketika itu, Kementerian Kesihatan tidak akan mengambil masa lama untuk mendapati saya membekal ivermectin, dan mereka menyerbu klinik saya. Tetapi saya sudah bersedia,” kata Che Amir pada sidang media.
“Bagi saya, jika saya menyelamatkan satu nyawa, ia berbaloi berdepan sebarang akibat (tindakan undang-undang-undang),” katanya sambil menambah tiada seorang daripada pesakitnya mengalami kesan sampingan serius kecuali cirit birit.
Gurdial berharap penghakiman Mahkamah Persekutuan akan membantu kes Che Amir dan membantu doktor lain yang berdepan situasi sama.
“Kami akan kemuka beberapa hujah (dalam kes Che Amir) dan harap Jabatan Peguam Negara bersetuju, atau sekurang-kurangnya hakim bersetuju, bahawa anda tidak boleh mendakwa orang dengan kesalahan tidak wujud.”
Katanya, Maafim pertimbang membantu doktor yang didakwa dan didenda untuk mendapatkan bayaran balik, namun timbul cabaran memandangkan mereka telah mengaku salah.
Mengambil kira keputusan mahkamah bahawa membekal ivermectin di bawah Akta Racun bukan satu kesalahan, Maafim sedang mengkaji kemungkinan mengumpul doktor terkesan untuk memfailkan kes bagi pembayaran balik dan ganti rugi.