
Dalam kenyataan berasingan, cawangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di dua negeri Borneo itu, menyatakan perkara berkenaan akan memburukkan lagi masalah kekurangan kakitangan di hospital dan klinik.

Ketua MMA Sarawak, Dr Ong Eng-Joe menyeru kerajaan persekutuan memperuntuk elaun perpindahan bagi doktor kontrak yang ditugaskan dari Semenanjung, dengan mengambil kira kos perpindahan tinggi bagi tiket penerbangan dan pengangkutan barangan menggunakan kargo yang mencecah ribuan ringgit.
“Doktor muda ini dalam tangga gaji rendah, perlu melunaskan pinjaman serta menyara ibu bapa dan adik-beradik, akan terbeban dengan liabiliti tambahan sekiranya mereka terpaksa menanggung sendiri kos perpindahan dari Semenanjung ke Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan.
“Ketiadaan elaun perpindahan ini akan terus memadamkan minat doktor dari Semenanjung untuk menerima penempatan ke Malaysia Timur.”

Turut senada, Ketua MMA Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang, berkata tindakan memotong elaun tersebut memberikan mesej merosakkan doktor muda yang baharu memulakan kerjaya.
Beliau juga menegaskan elaun itu merupakan ‘bentuk layanan istimewa’.
“Ia merupakan satu seruan agar dasar direka bentuk secara saksama; satu dasar yang mengiktiraf bahawa keberhasilan yang sama rata dalam penjagaan kesihatan memerlukan beban yang tidak sama rata itu diakui dan ditangani secara bertanggungjawab.
“Melindungi insentif yang menyokong pengisian kakitangan di Sabah adalah langkah untuk melindungi kesihatan rakyat Sabah,” katanya.
CodeBlue melaporkan bermula 1 Dis 2024, pegawai perubatan baharu dilantik atau mereka yang layak bermula 1 Dis 2024 akan menerima elaun BIW yang lebih kecil, berbanding senior mereka bagi pertukaran ke Sabah, Sarawak atau Labuan.
Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi perkhidmatan awam persekutuan pada tarikh tersebut, kadar BIW baharu telah dikurangkan kepada kadar tetap bulanan sebanyak RM360 bagi Gred 9 hingga 15 bagi kumpulan pengurusan dan profesional.