Mahkamah Tinggi ketepi sabitan Rewcastle Brown fitnah Sultanah

Mahkamah Tinggi ketepi sabitan Rewcastle Brown fitnah Sultanah

Hakim Radzi Harun putus sabitan tidak sah kerana tertuduh mesti hadir di mahkamah hadapi tuduhan jenayah.

rewcastle
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown tidak hadir ketika Mahkamah Majistret Kuala Terengganu jatuh hukuman penjara 2 tahun ke atasnya kerana fitnah Sultanah Nur Zahirah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun yang dikenakan ke atas editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown selepas beliau didapati bersalah memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hakim Radzi Harun hari ini memutuskan, sabitan tersebut tidak sah kerana tertuduh mesti hadir di mahkamah apabila berdepan tuduhan jenayah, menambah kes tersebut mesti dibicarakan semula.

Beliau berkata, mahkamah telah terkhilaf dalam mengguna pakai Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, yang membenarkan perbicaraan jenayah diteruskan tanpa kehadiran tertuduh, lapor Buletin TV3.

Radzi mengambil kira kegagalan menyerahkan waran tangkap kepada Rewcastle Brown, yang berada di United Kingdom, menegaskan Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi rasmi dengan negara itu.

Rewcastle Brown sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 7 Feb 2024 kerana memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam bukunya mengenai 1MDB, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Beliau didakwa atas kesalahan memfitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada 2018, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman sivil berjumlah RM300 juta terhadap Rewcastle Brown atas dakwaan memfitnah, selepas mendakwa bahawa satu kenyataan dalam buku tersebut memberikan bayangan bahawa baginda terlibat dalam amalan rasuah, campur tangan dalam pentadbiran Terengganu dan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Sultanah Nur Zahirah selanjutnya mendakwa, kenyataan tersebut boleh ditafsirkan sebagai membawa maksud baginda telah membantu Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, mendapatkan jawatan sebagai penasihat TIA.

Dalam pembelaannya, Rewcastle Brown mendakwa, beliau telah melakukan kesilapan tidak disengajakan (honest mistake) apabila mengenal pasti individu utama dalam kenyataan yang dipertikaikan itu sebagai isteri Sultan, sebaliknya patut merujuk adinda Sultan.

Pada September lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Rewcastle Brown dan dua lagi pihak memikul liabiliti memfitnah Sultanah Nur Zahirah dan menetapkan kos RM15,000 dianugerahkan kepada Sultanah.

Pada 12 Dis 2023, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin, dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd untuk membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah secara bertanggungan bersama dan berasingan, serta kos RM120,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.