
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah mendapatkan pandangan peguam negara, yang mengarahkan supaya rayuan itu diteruskan.
Beliau berkata pihak pendakwaan mengekalkan hujahan bertulis dan lisan yang dikemukakan di dalam rayuan tersebut.
“Apa jua keputusan mahkamah juga diterima,” kata Wan Shaharuddin.
Minggu lalu, Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, yang mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan, mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan supaya ‘bertenang dan meneliti semula’ sama ada timbul keperluan untuk keputusan disampaikan.
Beliau memberikan kedua-dua pihak ‘tempoh bertenang’ selama tujuh hari untuk mempertimbangkan semula kedudukan mereka.
Tidak jelas atas faktor apa mendorong mahkamah untuk memberi tempoh kepada pihak terlibat membuat penelitian semula.
Pada 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah kerana bersubahat dalam jenayah pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan RM1.12 juta milik Armada Bersatu.
Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq dan batalkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan, dan denda RM10 juta.