‘Kesilapan pentadbiran’ punca 96 pegawai dibatalkan kursus latihan

‘Kesilapan pentadbiran’ punca 96 pegawai dibatalkan kursus latihan

KKM berkata 96 pegawai itu diarah pulang sebulan selepas lapor diri kerana didapati tidak penuhi syarat ditetapkan.

kkm
Kementerian Kesihatan berkata seramai 2,061 pegawai atau 94% daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar, dibenarkan meneruskan kursus masing-masing, selama enam hingga setahun.
PETALING JAYA:
Kesilapan pentadbiran menyebabkan 96 pegawai paramedik dan auksiliari kesihatan diarahkan pulang selepas hampir sebulan mengikuti program lanjutan di Kementerian Kesihatan (KKM), Dewan Negara dimaklumkan minggu lalu.

Dalam jawapan bertulis kepada Senator Dr RA Lingeshwaran, KKM berkata 96 kakitangan tersebut didapati tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengikuti kursus berkenaan.

KKM berkata antara syarat yang tidak dipenuhi adalah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun secara lantikan tetap dengan purata nilai prestasi tahunan 85% ke atas.

Dr Lingeshwaran.

Lingeshwaran bertanya bagaimana keadaan sedemikian boleh berlaku dan sama ada pampasan akan diberikan kepada mereka yang terjejas, termasuk kakitangan dari Sabah dan Sarawak.

KKM berkata baki 2,061 pegawai, atau 94% daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar, dibenarkan meneruskan kursus masing-masing di Institusi Latihan KKM bermula 2 Sept kerana memenuhi semua syarat ditetapkan.

“Semua 96 pegawai dimaklumkan secara rasmi bahawa tawaran mereka dibatalkan dan diarahkan kembali bertugas di pejabat masing-masing pada 30 Sept,” kata KKM.

Kursus yang terlibat mempunyai tempoh antara enam bulan hingga setahun.

Sementara itu, bahagian latihan KKM mengarahkan semua ketua jabatan supaya tempoh pegawai berkenaan mengikuti kursus itu diambil kira sebagai ‘latihan dalaman’.

Dalam satu pekeliling bertarikh 10 Dis, bahagian tersebut berkata pegawai-pegawai ini juga akan diberikan pampasan oleh kerajaan bagi semua perbelanjaan yang ditanggung, termasuk elaun harian, hotel atau penginapan, makanan dan pengangkutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.