
Perwakilan Pemuda PAS dari Bera, Wildani Subli Zamani, berkata negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diterajui PN perlu dijadikan model dalam menjayakan agenda itu.

“PN perlu menawarkan alternatif bahawa kita mampu lakukan lebih baik daripada kerajaan hari ini bagi membuktikan kepada rakyat kita bersedia sebagai kerajaan menanti di Putrajaya,” katanya kepada FMT pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 di Kompleks PAS Kedah.
Perwakilan Pemuda PAS Padang Serai, Saifuddin Hassan, menggesa pemimpin PN membentangkan setiap kejayaan di negeri SG4 sebagai bukti kemampuannya boleh mentadbir Putrajaya.

“Sebagai contoh, di Kedah bagaimana Kulim Hi-Tech Park terus menjadi kawasan pelaburan utama dalam sektor pembuatan, ia sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Bagaimana negeri SG4 memberi penekanan kepada sistem pendidikan dengan menawarkan program tuisyen percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menjadi antara negeri melahirkan ramai pelajar cemerlang dan memasuki universiti serta pelaksanaan projek perumahan mampu milik.
“Jadi, pemimpin PN kena senaraikan kejayaan dicapai di negeri SG4 untuk menunjukkan kita bekerja melaksanakan amanah rakyat dan akhirnya rakyat dapat manfaatnya, sekali gus membuktikan kemampuan kita mentadbir.”
Beliau turut mengingatkan Putrajaya supaya memberi peruntukan adil kepada negeri pembangkang bagi membolehkan pentadbiran PN membuktikan keupayaan mereka.
Baihaqi Ramli, perwakilan Pemuda PAS Wangsa Maju, berkata pimpinan PN perlu merangka alternatif kepada dasar kerajaan sedia ada, termasuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Sebagai contoh, terbaharu isu melibatkan peniaga kecil, kelemahan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang didakwa membantu syarikat besar saja, jadi PN kena sediakan pelan alternatif bila kita jadi kerajaan bagaimana kita boleh tambah baik.
“PN juga perlu merangka alternatif penyediaan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan individu untuk melahirkan pekerja berkualiti.”

Fadzil Abdul Rahim, perwakilan Pemuda PAS Beruas, menggesa pimpinan PN sentiasa menjuarai isu rakyat dan menawarkan penyelesaian konkrit.
“Setiap isu rakyat kita perlu menjuarai, termasuk yang berlaku dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Pemimpin PN juga perlu pandai menarik orang muda dengan politik, sebab orang muda sekarang sudah menjauhi diri dan kurang faham politik, mereka tak minat dan muak dengan politik tak matang.”