Lau bidas wakil PAS P Pinang; dakwa Gerakan, sekutu bantu PAS menang 7 kerusi

Lau bidas wakil PAS P Pinang; dakwa Gerakan, sekutu bantu PAS menang 7 kerusi

Presiden Gerakan itu gesa semua parti dalam PN bekerjasama sebagai satu pasukan dan bukannya sabotaj sesama sendiri.

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata walaupun tiada kerusi dalam DUN, parti itu tetap aktif menjalankan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.
ALOR SETAR:
Presiden Gerakan, Dominic Lau membidas kritikan seorang perwakilan ulama PAS yang mempersoalkan kemampuan beliau untuk berkhidmat sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang.

Lau berkata, walaupun tidak mempunyai kerusi dalam DUN, Gerakan tetap aktif menjalankan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.

“Gerakan secara konsisten mengeluarkan kenyataan mengenai isu-isu rakyat dan mendesak pimpinan negeri, termasuk Ketua Menteri Chow Kon Yeow, memberi respons,” katanya kepada pemberita di luar muktamar PAS di sini.

Beliau juga menggesa semua parti dalam PN supaya bekerjasama sebagai satu pasukan dan bukannya mensabotaj sesama sendiri.

Timbalan pengerusi PN itu juga mendakwa Gerakan, bersama komponen PN lain, membantu PAS memenangi tujuh kerusi pada PRN 2023.

Ketika ini, PN memiliki 11 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, dengan PAS menguasai tujuh kerusi manakala Bersatu empat.

Minggu lalu, perwakilan ulama PAS Pulau Pinang, Shafirul Rozani, berkata PN negeri memerlukan ketua baharu, dengan menyifatkan Lau seperti ‘pemilik Ferrari yang tidak tahu memandu’.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan isu itu umpama ‘kocakan air dalam cawan’ dan tidak menjejaskan hubungan parti itu dengan Gerakan.

“Itu kita anggap perkara dalaman PN yang kita boleh dibincang secara persahabatan, selesai masalah.

“Apa yang penting walaupun pernah berlaku krisis semasa PRN (masalah kerusi) di (Pulau Pinang) dulu, (semua itu) ibarat air berkocak dalam cawan sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.