PAS sebulat suara lulus usul tolak RUU PSB

PAS sebulat suara lulus usul tolak RUU PSB

Perwakilan PAS Titiwangsa Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata RUU itu tidak wajar dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya dasar yang akan mengancam rakyat berbilang kaum tinggal dalam bandar.

Muktamar Pas
Perwakilan PAS Titiwangsa Mohd Suhaimi Abdul Aziz ketika membentangkan usul itu berkata ia perlu dijadikan bom jangka untuk ‘diletupkan’ pada kempen PRU16.
ALOR SETAR:
Muktamar Tahunan PAS ke-71 sebulat suara meluluskan usul menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Perwakilan PAS Titiwangsa, Mohd Suhaimi Abdul Aziz ketika membentangkan usul itu berkata, ia perlu dijadikan bom jangka untuk “diletupkan” pada kempen PRU16.

Beliau berkata, RUU itu tidak wajar dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya dasar yang digubal secara tidak telus dan tergesa-gesa sehingga mengancam rakyat berbilang kaum yang tinggal dalam bandar.

“Dalam senarai saya di Wilayah Persekutuan, terdapat lebih 90 kawasan yang akan dimajukan melibatkan populasi orang Melayu, Cina dan India.

“Isunya bukan soal perkauman, politik atau menolak pembangunan, tetapi bagaimana hak milik penduduk itu dianaktirikan dan dinafikan masa depan mereka.

“Isunya bagaimana kuasa penuh diberikan kepada kerajaan untuk melaksanakan rancangan tanpa persetujuan keseluruhan penduduk,” katanya ketika mencadangkan usul menolak RUU PSB yang disambut dengan laungan “tolak PSB” oleh perwakilan.

Beliau mendakwa kekecohan yang tercetus di Kampung Sungai Baru minggu lalu gambaran awal terhadap pelaksanaan RUU PSB, jika ia diluluskan.

Suhaimi turut kecewa isu penolakan RUU PSB hanya disentuh perwakilan Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

“Mungkin di negeri lain tidak terasa, tetapi di Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur, berapa ramai golongan terpinggir yang akhirnya dinafikan (hak) kerana tidak mampu membeli rumah yang pada asalnya mereka miliki.”

Usul itu antara lima usul yang dibentang dan dibahaskan dalam Muktamar PAS kali ini dan kemudian disokong Bakri Jamaluddin dari PAS Kawasan Tangga Batu serta Azmer Syazwan Ahmad Suparmin dari Wilayah Persekutuan.

Bakri ketika membahaskan usul itu berkata, ia bukan sekadar penolakan melalui laungan, sebaliknya perlu difahami secara mendalam kesannya, termasuk kuasa terlalus luas diberikan kepada pihak tertentu yang menimbulkan kebimbangan penduduk bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.