
Naib Ketua Wanita Umno Kedah Hisham Suhaili Othman berkata, sikap PH itu jelas bertentangan dengan semangat perkongsian kuasa dalam kerjasama politik.
Beliau turut menggesa agar hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan PH diseimbangkan di Kedah.
“Apa-apa yang ada semua (dapat) dekat mereka, kami juga yang tak ada apa-apa, jawatan GLC di Kedah apa pun mereka enggan kongsi dengan kita … tak mahu layan pun (permintaan kita), macam ini ke cara nak kongsi kuasa?” soalnya ketika berucap membahaskan ucapan dasar ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Hisham berkata, pihaknya menyasarkan untuk bertanding di Langkawi, Merbok dan Alor Setar, termasuk kerusi Sungai Petani yang dimenangi PH pada PRU16.
Beliau menegaskan, jika kerusi-kerusi itu ditandingi oleh rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan selain BN, jentera parti itu tidak akan turun membantu kempen.
“Ada juga kerusi kita, mereka sedang sasar, ada yang sudah turun buat kerja, usaha cari sokongan. Kerusi kita ini, waima apapun kita harus kena pertahankan,” katanya.
“Kalau tak diletak calon BN, jentera nyatakan awal, kami tak mahu berjuang untuk parti luar. Kalau mereka nak lawan juga, tak apa, kita lawan cara ‘friendly fight’.”
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar Umno mempertimbangkan semula kerjasama dengan DAP pada PRU akan datang sekiranya mahu kembali memenangi kerusi di negeri itu.
“Kalau (BN) nak bagi menang (di Kedah), nak dapat sokongan semula, DAP kami tak mahu, buatlah macam mana pun,” katanya.
“Dalam hal ini, Wanita Kedah lihat salah satu faktor terbesar kurangnya majoriti sokongan kepada kita adalah kerana DAP yang dianggap sebagai musuh Melayu.”