
Perkembangan itu bagaimanapun tidak mengejutkan, menurut Tunku Nashrul Abaidah, setiausaha akhbar kanan kepada Anwar Ibrahim.
“Gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, dengan sokongan 148 Ahli Parlimen selepas undi belah bahagi dilakukan.
Seramai 57 wakil rakyat memilih untuk tidak mengundi, dan 17 tidak hadir.
RUU yang melibatkan pindaan kepada Perkara 56, Perkara 57 dan Perkara 65 Perlembagaan dibentangkan bagi memberi laluan kepada kerajaan membentang RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua, yang dijadualkan hari ini.
Mengulas lanjut, perdana menteri menyuarakan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang memberi dukungan penuh kepada pindaan itu.
Pindaan itu disifatkan sebagai, “reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara, membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas, serta menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara.”
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU ini berkata pindaan berkenaan serta RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, sekiranya lulus, akan membolehkan Parlimen berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.
Perbahasan RUU Perkhidmatan Parlimen dijadual berlangsung hari ini dan bersambung esok untuk kelulusan.