Zaid kritik ‘draf teruk’ RUU Perkhidmatan Parlimen

Zaid kritik ‘draf teruk’ RUU Perkhidmatan Parlimen

Bekas menteri undang-undang berkata RUU gagal mencerminkan objektif bagi menjamin kebebasan Parlimen daripada eksekutif.

fmt PARLIAMENT parliment
Zaid Ibrahim berkata tiada apa jua dalam RUU mencadangkan penambahbaikan atau pandangan berhubung perkara diperlukan badan perundangan itu mencapai objektif dimaksudkan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mengkritik cadangan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, sambil menyatakan ia dirangka dengan teruk dan tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai tujuannya.

Zaid berkata, sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) memberitahu kepada rakyat undang-undang baharu itu diperlukan demi bagi memastikan ‘ada pembuktian’ Parlimen bebas daripada eksekutif.

Zaid Ibrahim.

“Tetapi, ia bukan begitu,” kata bekas Ahli Parlimen Kota Bharu di X.

“Sepertimana digembar-gemburkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, kerajaan komited dengan prinsip pengasingan kuasa. Namun, apa yang kita temui hanyalah penyusunan semula kakitangan kepada perjawatan baharu.”

Beliau juga berkata, tiada apa jua dalam RUU mencadangkan penambahbaikan atau pandangan kritikal berhubung perkara diperlukan badan perundangan itu mencapai objektif dimaksudkan.

“Tiada apa menunjukkan minat kerajaan menyediakan kerangka berkanun di mana kakitangan lebih berkualiti diambil berkhidmat dengan gaji lebih baik di bawah perkhidmatan Parlimen (undang-undang) di luar tempoh perkhidmatan awam semasa,” katanya.

Pada Isnin, Azalina membentangkan RUU itu bersama RUU Pindaan Perlembagaan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Bacaan kali kedua dijadual Selasa ini.

Berdasarkan Buku Biru, RUU Perkhidmatan Parlimen bertujuan menubuhkan sebuah majlis perkhidmatan Parlimen, dipengerusikan speaker Dewan Negara dengan speaker Dewan Rakyat, sebagai pengerusi bersama.

Ahli lain termasuk timbalan speaker Dewan Negara, dua timbalan speaker Dewan Rakyat, dua senator, empat Ahli Parlimen, seorang kerani daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat, tiga wakil tetap, ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua pengarah perkhidmatan awam, dan ketua pentadbiran Parlimen.

Majlis ditugaskan melantik dan menentukan syarat anggota perkhidmatan Parlimen, menyelia hal kewangan, melaksanakan program latihan, dan menguruskan hal ehwal perkhidmatan Parlimen.

Namun, Zaid mendakwa RUU kurang menekankan perlindungan bagi memastikan ahli majlis mempertahankan profesionalisme dalam pengambilan kerani, pentadbir, dan kakitangan lain tanpa merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.