
RUU tersebut peroleh sokongan majoriti Ahli Parlimen pada bacaan kedua dan ketiga, selepas undi belah bahagi dilakukan. Seramai 148 wakil rakyat bersetuju untuk meluluskan RUU ini, manakala 57 memilih untuk tidak mengundi dan 17 tidak hadir.
RUU yang melibatkan pindaan kepada Perkara 56, Perkara 57 dan Perkara 65 Perlembagaan dibentangkan bagi memberi laluan kepada kerajaan membentang RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua, yang dijadualkan hari ini.
Pindaan berkenaan bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan setiausaha Dewan Negara dan setiausaha Dewan Rakyat, yang boleh dilantik dalam kalangan atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.
Ia turut memasukkan fasal baharu yang menyatakan presiden Dewan Negara dan speaker Dewan Rakyat atau timbalan tidak hilang kelayakan memegang jawatan oleh sebab keahlian dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU ini berkata pindaan berkenaan serta RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, sekiranya lulus, akan membolehkan Parlimen berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam.
Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.
Perbahasan RUU Perkhidmatan Parlimen dijadual berlangsung hari ini dan bersambung esok untuk kelulusan.