
Menurut Johari Abdul, cadangan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang dipengerusikan bersama speaker Dewan Rakyat dan presiden Dewan Negara akan memainkan peranan “kabinet” Parlimen.
Beliau berkata RUU itu membolehkan majlis berkenaan memutuskan perbelanjaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain menubuhkan jawatankuasa pilihan serta kaukus.
Johari berkata RUU itu akan memastikan pengasingan kuasa antara cabang legislatif dan eksekutif kerajaan.
“Kami akan mentadbir apa yang berlaku dalam dewan, termasuk (menetapkan) dasar-dasar (kami sendiri),” katanya.
Cadangan itu, sebahagian usaha reformasi pentadbiran Parlimen, terkandung dalam RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, yang dibentangkan minggu ini. Ahli Parlimen dijangka membahaskan RUU itu Selasa depan.
Johari berkata Majlis Perkhidmatan Parlimen yang dicadangkan itu akan turut dianggotai timbalan presiden Dewan Negara, dua timbalan speaker Dewan Rakyat, dua senator, empat Ahli Parlimen, setiausaha kedua-dua dewan dan tiga ahli ex-officio – ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua pengarah perkhidmatan awam dan ketua pentadbir Parlimen.
RUU itu memperuntukkan setiausaha kedua-dua dewan dicalonkan oleh ketua speaker Dewan Rakyat dan presiden Dewan Negara, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Johari berkata, RUU itu bertujuan memperkasakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk bincang serta meminda statut dan peruntukan masing-masing, yang kini di bawah bidang kuasa Jemaah Menteri.
Kira-kira 1/3 daripada kakitangan Parlimen memilih untuk menyertai perkhidmatan Parlimen baharu yang dicadangkan dalam RUU itu, menurut pejabat pentadbir Parlimen dalam kenyataan.
Menurutnya, RUU itu memperkenalkan “model hibrid” untuk pengambilan kakitangan Parlimen, yang akan menampung 67% kakitangan ingin kekal dalam jawatan mereka sekarang sebagai sebahagian perkhidmatan awam.
Katanya, model hibrid itu membolehkan pentadbiran dan kewangan Parlimen terus dikendalikan oleh pegawai perkhidmatan awam, sementara pengurusan kedua-dua dewan dan jawatankuasa pilihan Parlimen dikendalikan oleh anggota perkhidmatan Parlimen yang merupakan satu perkhidmatan berasingan.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelangsungan kepakaran khusus dalam pengurusan sesi Parlimen, tetapi juga mengekalkan kelancaran operasi melalui pengalaman pegawai perkhidmatan awam,” katanya.