Takiyuddin persoal tangkap wartawan, Azam Baki kata kes bukan sekadar salah laku

Takiyuddin persoal tangkap wartawan, Azam Baki kata kes bukan sekadar salah laku

SPRM berkata pihaknya ada alasan kukuh percaya wartawan itu terlibat rasuah susulan penemuan RM20,000 bersamanya.

wartawan rasuah
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata sesiapa sahaja sama ada wartawan atau ahli politik tiada pengecualian jika melakukan kesalahan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai alasan kukuh menahan seorang wartawan disyaki menerima suapan RM20,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata sesiapa sahaja sama ada wartawan atau ahli politik tiada pengecualian jika melakukan kesalahan, lapor Harian Metro.

“Kami mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa dia (wartawan) terbabit dalam rasuah selepas wang tunai sebanyak RM20,000 ditemui bersamanya,” katanya.

Azam mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengenai penahanan wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, yang menulis laporan membongkarkan dalang kartel Pakistan yang menyeludup pekerja asing masuk ke negara ini di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Takiyuddin mahu SPRM menumpukan siasatan terhadap laporan media berkait dakwaan rasuah membabitkan ejen pekerja asing dan pegawai Imigresen di pintu masuk negara, bukannya menahan wartawan melaporkan kes tersebut.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga mempersoal kenapa wartawan itu ditahan SPRM jika berlaku peras ugut jenayah sepatutnya disiasat bawah Kanun Keseksaan oleh polis, susulan laporan pengamal media itu minta RM100,000 daripada ejen pekerja asing sebagai balasan menurunkan artikel dimuatnaik serta tidak meneruskan pendedahan mengenainya, dengan jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.

Mengulas perkara itu, Azam berkata: “Ini bukan sekadar salah laku. Di bawah undang-undang rasuah, ia sangat jelas, sesiapa yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan, itu adalah kes rasuah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.