Rakyat tak minat pilihan raya mengejut, kerajaan Anwar kekal, kata penganalisis

Rakyat tak minat pilihan raya mengejut, kerajaan Anwar kekal, kata penganalisis

Syaza Shukri dari UIAM berkata rakyat cukup sedar pilihan raya kerap memperlahankan kemajuan negara.

public malaysian
Penganalisis Azmi Hassan berkata rakyat lebih berminat jika kebimbangan mereka berkait ekonomi ditangani.
PETALING JAYA:
Penganalisis mengetepikan seruan Bersatu kononnya PRU akan dipanggil lebih awal, sambil menyatakan sentimen rakyat memihak kepada kestabilan berbanding pergolakan politik.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata pengundi terutama pemilih muda tidak berminat jika pilihan raya kerap diadakan.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Mereka percaya demokrasi mesti diseimbangkan dengan kestabilan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, orang ramai sangat menyedari mengadakan pilihan raya terlalu kerap akan memperlahankan kemajuan negara.

“Apa gunanya mengundi setiap tahun jika tiada apa-apa yang bermakna dilakukan untuk negara? Hanya orang politik berminat dengan pilihan raya mengejut, bukan rakyat,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Bersatu berkata Presidennya Muhyiddin Yassin menggesa ahli parti bersedia kemungkinan PRU diadakan hujung tahun ini.

Keadaan itu membayangkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mampu bertahan sehingga habis penggal, yang tamat pada hujung 2027.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata rakyat lebih berminat kebimbangan ekonomi mereka ditanganinya, berbanding gerakan politik.

“Rakyat tidak semestinya mahu kerajaan bertukar seperti diinginkan Bersatu, namun mereka mahu kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) bekerja, terutama menangani kos sara hidup tinggi,” katanya.

Beliau mengingatkan andai pembangkang terlalu fokus dengan pilihan raya mengejut, ia berisiko mengabaikan peranan utamanya menjadi semak dan imbang di Parlimen.

Seorang lagi penganalisis dari UIAM Lau Zhe Wei berkata tiada suara atau gerakan kuat menyeru kepada perubahan kerajaan.

Kerajaan Anwar dijangka bertahan sampai 2027

Syaza berkata, tiada sebab musabab untuk pentadbiran sedia ada tidak kekal sehingga habis penggal, memandangkan kerajaan disokong Barisan Nasional (BN) dan parti politik di Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan kepada isyarat daripada Pengerusi BN (Barisan Nasional) Zahid Hamidi setakat ini, mereka kekal.

“Jadi, bagaimana pilihan raya mengejut boleh berlaku? Siapa yang akan khianat Anwar? Adakah pembangkang mempunyai cukup bilang? Adakah mereka mempunyai lebih 40 Ahli Parlimen untuk berpaling tadah bagi undi tidak percaya ke atas Anwar?

“Saya tak fikir begitu,” katanya.

Dengan sokongan 153 daripada 222 Ahli Parlimen, Anwar mendapat dukungan kukuh lebih dua pertiga di Dewan Rakyat, jauh lebih besar daripada majoriti mudah 112 sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Syaza berkata, melainkan berlaku sesuatu “besar” mengganggu hubungan Anwar dan Zahid, pilihan raya tidak mungkin diadakan.

Azmi juga percaya kerajaan Anwar akan bertahan sehingga akhir penggal, atau sehingga perdana menteri merasakan tiba masa bagi pembubaran Parlimen.

Dalam pada itu, Lau menolak sebarang ancaman segera terhadap majoriti Parlimen kepada Anwar.

“Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) cukup stabil. Walaupun jika ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan menerusi undi tidak percaya, jumlahnya tidak cukup,” katanya.

Lau menekankan sejak PRU 2022, PH kekal bersatu, Umno tidak berpecah, dan kedua-dua Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal bersama kerajaan.

“Pembangkang tidak mengemukakan apa jua bukti konkrit bahawa mereka mempunyai lebih sokongan berbanding Anwar. Sehingga saat ini, kerajaan dijangka bertahan habis penggal kerana ia mempunyai jumlah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.