
Penerima sumbangan itu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad yang masing-masing menerima set pakaian dan beg.
Bantuan bernilai RM37,000 itu disumbangkanm PTPTN manakala Media Prima Berhad pula menyumbangkan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 atau RM200 bagi setiap pelajar.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan itu berkata program tanggungjawab sosial korporat terbabit adalah inisiatifnya menyokong golongan asnaf dalam pendidikan.
“Kami percaya pendidikan kunci utama untuk mengubah kehidupan dan kami berusaha memastikan semua pelajar berpeluang menerima pendidikan tanpa mengira latar belakang kewangan.
“Melalui program ini juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen kami di PTPTN untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua,” katanya.
PTPTN adalah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara.
Agensi itu telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform menggalakkan masyarakat merancang kewangan bagi pendidikan tinggi.
Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen kompetitif, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.