SPRM sokong bank pecat pegawai terbabit sindiket pinjaman

SPRM sokong bank pecat pegawai terbabit sindiket pinjaman

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut memuji siasatan dalaman pihak bank terhadap pegawai kewangan terbabit kes itu.

Azam Baki-Pesuruhjaya SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan pihaknya hanya mendapati tiga pegawai kewangan dipecat dalam kes sindiket pinjaman kewangan minggu ini.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong tindakan bank memecat pegawai terbabit sindiket pinjaman kewangan dan pengubahan wang haram bagi mencegah kegiatan itu berulang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut memuji siasatan dalaman pihak bank terhadap pegawai kewangan terbabit kes itu.

“Ia satu tindakan yang bagus, baik serta proaktif oleh bank berkenaan yang bersedia menjalankan siasatan dalaman terhadap mana-mana individu terbabit,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, tujuh pegawai sebuah bank terkemuka dipecat bulan lalu selepas siasatan dalaman hampir enam bulan mendapati mereka terbabit sindiket pinjaman didalangi syarikat perunding kewangan ditumpaskan SPRM melalui Op Sky baru-baru ini.

Menurut laporan itu, tujuh pegawai terbabit antara 18 pegawai bank ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Op Sky hasil kerjasama Bank Negara (BNM) dan beberapa lagi kakitangan bank itu masih dalam siasatan dalaman bagi mengenal pasti sejauh mana pembabitan mereka.

Azam berkata siasatan pihaknya hanya mendapati tiga pegawai kewangan dipecat dalam kes itu minggu ini.

“Saya menerima maklumat mereka ini dipecat selepas siasatan SPRM membongkar sindiket berkenaan,” katanya tanpa mendedahkan bank itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.