2 pegawai bank mengaku tak salah rasuah lebih RM58,000

2 pegawai bank mengaku tak salah rasuah lebih RM58,000

Syamime Hazreen Bahrin berdepan lima tuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,581.51, manakala Nursyafiqah Abdul Latif berdepan dua tuduhan rasuah berjumlah RM8,000.

mahkamah
Mahkamah Sesyen Melaka membenarkan jaminan RM17,000 terhadap Syamime Hazreen Bahrin dan RM7,000 bagi Nursyafiqah Abdul Latif. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan menerima suapan lebih RM58,000 bagi memudahkan urusan pinjaman peribadi pelanggan melebihi had kelayakan dibenarkan.

Syamime Hazreen Bahrin, 37, yang masih penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur berdepan lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM50,581.51.

Nursyafiqah Abdul Latif, 29, bekas eksekutif pembiayaan pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point pula berdepan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM8,000.

Sinar Harian melaporkan mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Elesabet Paya Wan.

Syamime didakwa menerima suapan melalui beberapa transaksi dalam talian ke akaun miliknya di sebuah bank di Jalan Hang Tuah, Melaka antara 8 Dis 2022 hingga 15 Julai 2024, dipercayai sebagai ganjaran membantu memproses pembiayaan peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan beberapa permohonan lain di institusi kewangan berbeza hingga menyebabkan jumlah pinjaman mereka melebihi had kelayakan sebenar.

Nursyafiqah pula dituduh menerima dua rasuah berjumlah RM8,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan dalam talian ke akaunnya di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos dan 9 Sept 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM20,000 hingga RM25,000 terhadap Syamime Hazreen dan RM7,000 bagi Nursyafiqah dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam Emile Ezra Hussain yang mewakili Syamime dan M Manoharan bagi Nursyafiqah memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Hakim membenarkan jaminan RM17,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah, serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 3 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.