Asean perlu sehaluan tumpu tadbir urus baik, kata SPRM

Asean perlu sehaluan tumpu tadbir urus baik, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata perkara pertama perlu dilakukan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah pembasmian rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata negara Asean perlu capai kata sepakat selain beri tumpuan utama kepada kepatuhan tadbir urus, selain aspek kuat kuasa.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memainkan peranan memperkukuh tadbir urus serantau selaras menjadikan Malaysia dan negara Asean lebih berdaya saing serta bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pelbagai kajian menunjukkan masih ramai dalam kalangan entiti perniagaan tidak memahami sepenuhnya bagaimana sektor awam berfungsi membanteras rasuah, menjurus wujudnya persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Sebab itulah SPRM kini mengambil langkah menerajui usaha ini.

“SPRM mengetuai pasukan petugas khas yang telah menubuhkan beberapa kumpulan fokus bagi memperkukuh kefahaman antara sektor awam dan sektor swasta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Mesyuarat Prinsipal Asean-PAC di Sunway Resort City KL.

Azam berkata demikian ketika diminta mengulas perjalanan mesyuarat berlangsung hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata antara kumpulan fokus di bawah pasukan petugas itu adalah membantu sektor swasta memahami dengan lebih baik mengenai persekitaran perniagaan serta sistem pentadbiran awam.

Katanya, dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, perkara pertama perlu dilakukan adalah membasmi rasuah.

Namun, Azam berkata hasrat berkenaan perlu seiring reformasi dan penambahbaikan terhadap undang-undang serta tadbir urus.

Apabila ditanya sama ada perbincangan ini sekadar sesi percambahan fikiran, Azam sebaliknya berkata ia merupakan sesi penting untuk mencapai persetujuan bersama negara anggota.

“Kita perlu mencapai kata sepakat kerana ini melibatkan negara-negara Asean. Setelah sesuatu keputusan dicapai, semua negara anggota perlu komited melaksanakan apa yang dipersetujui.

“Sebagai pengerusi dan peneraju mesyuarat ini hingga 2026, SPRM memikul tanggungjawab memastikan setiap negara Asean mempunyai pemikiran sehaluan bahawa pematuhan terhadap tadbir urus adalah isu utama yang perlu diberi perhatian, selain aspek penguatkuasaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.