
Pada September, Hamzah cuba meyakinkan ahli Bersatu akan kesetiaan beliau kepada Muhyiddin, susulan penyebaran surat layang yang menuduhnya mereka-reka dakwaan Muhyiddin sudah berjanji menyerahkan jawatan presiden.
Surat itu juga menyifatkan Hamzah yang juga ketua pembangkang, sebagai ‘musuh dalam selimut’ kerana menentang keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2024, antara lain mengesahkan semula Muhyiddin sebagai presiden.
Bekas ketua Bersatu Ipoh Timur, Fadhli Ismail, mendakwa bulan lalu Muhyiddin melawat Mahathir di kediamannya untuk mendapatkan nasihat mengenai pemecatan Hamzah, dengan pertemuan itu turut didakwa dihadiri Setiausaha Agung Azmin Ali dan Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu.
Bercakap kepada FMT, Mahathir berkata tiada pertemuan sedemikian berlaku.
“Tidak, Muhyiddin tak datang jumpa saya meminta nasihat (mengenai sama ada) untuk memecat Hamzah. Sama sekali tidak,” kata Mahathir.
Bekas pengerusi Bersatu itu menegaskan, beliau menentang kepuakan kerana ia akan memudaratkan matlamat utama beliau menyeru penyatuan Melayu.
Mahathir berkata, beliau tidak mahu membezakan antara kumpulan yang setia kepada Muhyiddin atau Hamzah, sambil menegaskan ‘mereka semua adalah Melayu’.
Beliau juga berkata, Muhyiddin dan Hamzah berkongsi pandangan sama mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan Melayu.
“Jika kita mahu mencapai perpaduan Melayu, anda perlu menerima pengikut Hamzah atau Muhyiddin, kerana kita hanya anggap mereka sebagai Melayu…bukan sebagai pengikut Hamzah atau pengikut Muhyiddin.
“Mereka (Muhyiddin dan Hamzah) dengar cakap saya. Mereka percaya pada perpaduan. Mereka percaya perpaduan akan memberi kita kekuatan, akan membolehkan kita menang pilihan raya. Sebaliknya, kedua-dua mereka memikirkan tentang masa depan mereka sendiri.’”
“Disebabkan Muhyiddin merasakan jika beliau dapat sokongan majoriti di bawah payung besar, maka beliau akan menang dan menjadi perdana menteri. Tetapi, semua orang boleh jadi perdana menteri. Kita tidak seharusnya fokus hanya kepada Muhyiddin atau Hamzah.”
Pada PAT Bersatu diadakan September, Muhyiddin mendedahkan wujud pihak tertentu sedang mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya, mendorong beberapa perwakilan bangun lalu menyeru beliau meletak jawatan.
Dalam ucapan penggulungannya pada keesokan harinya, Hamzah menolak dakwaan beliau cuba melemahkan Muhyiddin dan berikrar memberikan sokongan penuh kepada presiden. Hamzah juga enggan memperbesarkan kekecohan semasa ucapan dasar Muhyiddin.
Pergolakan yang semakin meruncing dalam parti itu menyaksikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung.
Penganalisis berkata, pergolakan dalaman Bersatu yang semakin meningkat mampu melemahkan parti menjelang PRU akan datang.