
Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mendakwa, pembinaan pusat rawatan dan kesihatan itu dimasukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) hingga RMK-12, namun sehingga tahun ini masih belum dilaksanakan.

“Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan adakah hospital tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan di dalam RMK-13.
“Ataupun tidak disenaraikan oleh kerajaan negeri kepada kementerian memandangkan hospital itu berada di kawasan pembangkang?” soalnya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Ekonomi berkata RMK-13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025, iaitu kesinambungan RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Projek Hospital Rancangan Sungai Manila dirancang dibina bawah DUN Sungai Manila, iaitu satu daripada tiga DUN bawah Parlimen Libaran.
Kini, penduduk DUN berkenaan yang mencecah lebih 30,000 orang hanya berharap kepada kemudahan Hospital Duchess Of Kent, Sandakan yang berusia lebih 73 tahun.
“Hospital sedia ada iaitu Hospital Duchess of Kent tidak lagi mampu untuk menampung keperluan kesihatan penduduk daerah Sandakan khasnya Parlimen Libaran.
“Saya mengharapkan kerajaan mempercepatkan cadangan pembinaan hospital ini bagi menampung keperluan kesihatan penduduk setempat khususnya di Parlimen Libaran,” kata Suhaimi.
Mengikut perancangan, Hospital Rancangan Sungai Manila akan dilengkapi dengan unit kecemasan, klinik pergigian, wad pesakit dan wad bersalin.
Luas program makanan percuma kepada semua murid
Suhaimi berkata, Sabah berstatus antara negeri mempunyai kadar kemiskinan tertinggi antara sebab murid didapati tidak mendapat cukup nutrisi.
Justeru, beliau menggesa kerajaan memperluaskan penyediaan bantuan rancangan makanan tambahan (RMT) kepada semua murid tanpa mengira taraf ekonomi keluarga.
“Terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang baik dan seimbang di peringkat awal usia sangat penting untuk perkembangan kognitif dan prestasi akademik.
“Dengan adanya program makanan lebih menyeluruh, kita dapat pastikan murid di Sabah mendapat permulaan kehidupan lebih baik, seterusnya melahirkan generasi lebih sihat dan berdaya saing pada masa depan,” katanya.