
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir mendakwa kestabilan politik gagal diwujudkan Warisan yang membentuk kerajaan pada 2018 bukan atas mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN).
“Selama 26 bulan pemerintahan Warisan, Sabah lumpuh. Dasar bertukar arah hampir setiap bulan, pelabur hilang keyakinan dan pembangunan terhenti separuh jalan.
“Ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi serta pandemik Covid-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berpolitik dan berebut kuasa,” kata Ahli Parlimen Libaran itu dalam kenyataan.
Pada PRU14, BN Sabah memenangi 31 kerusi DUN dan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan sokongan kepada Musa Aman, yang kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.
Namun, kira-kira 48 jam kemudian, enam Adun BN — empat daripada Umno dan dua daripada Upko — melompat menyertai Warisan yang ketika itu memiliki 21 kerusi. Ekoran itu, Presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Suhaimi berkata kewujudan undang-undang antilompat parti selepas kejatuhan Warisan menjadi bukti jelas bahawa tindakan parti itu telah merosakkan integriti demokrasi.
“Apa yang mereka anggap sebagai strategi politik sebenarnya menjadi pengajaran besar kepada seluruh negara bahawa kerajaan yang dibina atas pengkhianatan tidak akan kekal,” katanya.
Menjelang PRN Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau menegaskan rakyat negeri itu tidak boleh membiarkan Sabah sekali lagi dijadikan pentas ‘politik katak’ hingga menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan.
“Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” katanya.