
Ketua PKR Batu Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata kenyataan wakil rakyat Bersatu itu berkait ‘maklumat baharu’ perlu diambil berat pihak berkuasa.
“Polis bertanggungjawab untuk membuka semula siasatan terhadap video terbabit dan polis perlu merakam keterangan Wan Saiful Wan Jan berkenaan sumber yang didakwa oleh beliau,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin parti itu selagi kontroversi berhubung ‘video melampau’ yang didakwa membabitkan dirinya belum diselesaikan.
Katanya, beliau pada awalnya sebahagian daripada kumpulan Azmin dalam Bersatu, malah menyokong bekas menteri itu untuk menjadi timbalan presiden pada perhimpunan agung Julai 2024 kerana merasakan Azmin layak.
Wan Saiful juga berkata, beliau menerima keputusan Presiden Muhyiddin Yassin melantik Azmin sebagai setiausaha agung, namun pendirian itu berubah apabila beliau menerima maklumat baharu mendakwa siasatan forensik mengesahkan ketulenan video melibatkan Azmin di Sandakan itu.
Pada 2019, beberapa klip video tular yang didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan homoseksual di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.
Sementara itu, CyberSecurity Malaysia memutuskan klip video itu adalah tulen, namun wajah individu terbabit tidak dapat dilakukan kerana resolusi rakaman yang rendah dan kabur.
Ketika itu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, klip video berkenaan turut dihantar kepada pakar forensik di Amerika Syarikat yang mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia.