Jangan pura-pura jadi ‘wira’ Sabah, Suhaimi beritahu Warisan

Jangan pura-pura jadi ‘wira’ Sabah, Suhaimi beritahu Warisan

Ahli Parlimen Libaran, Suhaimi Nasir, ingatkan BN dan PH dianggotai parti Sabah.

Suhaimi Nasir
Ahli Parlimen Suhaimi Nasir kata BN dan PH turut dianggotai parti Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Umno mengingatkan Warisan agar tidak berpura-pura menjadi wira untuk rakyat Sabah, dengan memainkan sentimen kenegerian demi kepentingan politik.

“Kalau hanya pejuang undi bukan pejuang negeri,” kata Suhaimi Nasir (BN-Libaran), pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau mempertahankan penglibatan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Sabah, mengatakan kedua-dua gabungan itu dianggotai parti tempatan, iaitu masing-masing Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu.

“Parti sendiri (Warisan) ada ahli dan cawangan di Johor, Selangor dan Kedah. Jadi jangan pura-pura jadi wira Sabah,” katanya, yang turut membidas kelakuan menyalahkan parti Semenanjung apabila kalah pilihan raya.

Semalam, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada sesi perbahasan RUU Perbekalan 2026 berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah atur Sabah dan ‘selamatkan Sabah’.

Beliau menarik perhatian kepada peratusan kerusi di Sabah, mengatakan 58% kerusi DUN dipegang oleh parti tempatan, berbanding Sarawak yang mana parti tempatan menguasai 98% kerusi.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 29 Nov sebagai tarikh untuk pengundi Sabah memilih wakil rakyat dan kerajaan.

Kempen akan berlangsung selama 14 hari, seusai penamaan calon yang jatuh pada 15 Nov.

Daftar pemilih terkini mengandungi 1,784,843 orang pemilih, yang akan mengundi bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.