6 pegawai dikait sindiket ditukar hingga siasatan selesai, kata KP kastam

6 pegawai dikait sindiket ditukar hingga siasatan selesai, kata KP kastam

Kastam sedang mendapatkan pengesahan nama pegawai terbabit daripada SPRM untuk disusuli dengan tindakan pertukaran.

Anis Rizana
Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin menasihatkan anggotanya berkhidmat dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan berkaitan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan vape akan ditukar ke bahagian lain sehingga siasatan selesai.

Ketua Pengarah Kastam, Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pihaknya sedang mendapatkan pengesahan nama pegawai terbabit daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disusuli dengan tindakan pertukaran itu.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuk SPRM dan tidak akan berkompromi.

“Nasihat saya, berkhidmatlah dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.

“Sebagai agensi pemungut hasil negara, setiap warga JKDM bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah ini dengan berintegriti,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, jauhkan diri daripada perkara melanggar undang-undang negara dan mencemar nama baik jabatan.

Terdahulu, media melaporkan SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan vape dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.

Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA.

Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM1.9 juta yang tidak diikrar dalam lori berkenaan.

Serentak itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat berkenaan.

Susulan itu enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.