
Hakim Su Tiang Joo memutuskan bahawa kerajaan dan polis melanggar kewajipan statutori mereka, dan bahawa pegawai mereka bertindak bertentangan dengan Perlembagaan.
Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak membayar RM2 juta sebagai ganti rugi am, RM1 juta sebagai ganti rugi teladan, serta ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52.
Mahkamah turut menganugerahkan kos RM250,000 kepada isteri Amri, Norhayati Ariffin.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya kira-kira jam 11.30 malam pada 24 Nov 2016.
Keretanya ditemui di tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada awal pagi keesokannya.
Isteri aktivis itu, Norhayati Ariffin, memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung cara pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kehilangan suaminya.
Dalam penghakimannya, Su memutuskan bahawa Norhayati mempunyai kedudukan sah di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Norhayati terpaksa memohon fasakh (bubar perkahwinan dengan Amri) di mahkamah syariah pada 2023 bagi melayakkannya menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.
“Fasakh itu tidak menafikan hak beliau untuk memfailkan tindakan ini.
“Beliau berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan anak-anaknya menerima bantuan kewangan, dan beliau masih menyayangi suaminya serta berharap suaminya akan pulang suatu hari nanti.
“Pada pandangan saya, adalah tidak adil dan tidak berperikemanusiaan bagi pihak defendan (kerajaan) untuk berhujah agar mahkamah menafikan hak beliau memfailkan tindakan ini,” katanya.
Su turut berkata pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen tidak bersungguh-sungguh seperti sepatutnya dalam menjalankan siasatan terhadap kehilangan Amri.
Katanya, Khor sebelum ini juga pernah memberitahu mahkamah bahawa beliau menganggap ajaran Syiah sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Beliau berkata, sepanjang lebih tujuh tahun, polis dan Khor gagal mengemas kini maklumat kepada Norhayati mengenai perkembangan siasatan kehilangan suaminya.
Su juga berkata Khor gagal bertindak segera dalam meneliti petunjuk yang mungkin membantu siasatan serta gagal merekodkan kenyataan saksi dengan segera.
Pembelaan tidak konsisten, kata hakim
Mahkamah turut membangkitkan isu mengenai cara Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili kerajaan dan polis dalam prosiding itu, mengendalikan pembelaan mereka.
Su berkata pembelaan yang dikemukakan hanyalah ‘penafian kosong’, dan pihak berkuasa dilihat cuba ‘menyembunyikan’ bukti daripada Norhayati.
Katanya, Norhayati memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan laporan pasukan petugas khas berkaitan kes kehilangan Amri, yang sebelum ini cuba disekat oleh kerajaan.
“Menurut laporan pasukan petugas itu, AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan semula kes Amri di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan sebagai kes penculikan.
“Namun, dalam pelaksanaannya, pegawai undang-undang masih mengekalkan pendirian bahawa kes Amri adalah kes orang hilang,” katanya.
Su turut mengkritik AGC kerana ‘menentang keputusan timbalan pendakwa raya sendiri’ yang mengklasifikasikan siasatan Amri sebagai kes penculikan, tetapi menyatakan di mahkamah bahawa ia berkaitan orang hilang.
“Orang ramai mahu tahu bagaimana peguam negara ketika ini akan menangani perkara ini,” katanya.
Lantik pasukan siasatan baharu
Mahkamah turut mengeluarkan perintah tambahan yang mengarahkan ketua polis negara untuk menggantikan Khor dan pegawai lain yang terlibat dalam siasatan kes kehilangan Amri.
“Polis perlu membuat siasatan semula dan melaporkan hasil siasatan mereka kepada AGC setiap dua bulan,” kata Su.
Beliau turut mengarahkan peguam negara supaya meneliti keputusan mahkamah hari ini dan melantik pegawai penyiasat baharu bagi kes berkenaan.
“Bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, pegawai undang-undang yang terlibat dalam kes ini tidak seharusnya memberikan arahan kepada polis,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas prosiding, Norhayati menzahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah tersebut.
“Syukur kepada tuhan kerana mengurniakan kemenangan ini kepada kami selepas sembilan tahun berjuang bersama peguam saya dan semua yang telah berdiri teguh bersama saya,” katanya.
Bagaimanapun, Norhayati berkata keputusan itu tidak mengurangkan kesedihannya kerana keberadaan suaminya masih belum diketahui.
“Perasaan sedih itu tetap ada kerana apa yang kami cari adalah di mana Amri berada. Adakah dia masih hidup, telah meninggal dunia, atau berada dalam keadaan sihat, masih belum terjawab.
“Kami berharap mereka yang bertanggungjawab atas kejadian ini akan menerima balasan setimpal atas apa yang telah mereka lakukan.”