
Yeoh berkata, pihak kementerian melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan menjalin kerjasama erat dengan jawatankuasa bebas yang menyiasat tuduhan penyerahan dokumen yang dipalsukan kepada Fifa membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.
Tambahnya, dapatan siasatan itu akan menjadi landasan kepada tindakan penambahbaikan yang mesti dilaksanakan oleh FAM.
“Kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh Fifa,” katanya dalam kenyataan.
Yeoh berkata, Malaysia wajar mengambil iktibar daripada negara-negara lain yang pernah dikenakan penggantungan oleh Fifa akibat campur tangan kerajaan, antaranya Zimbabwe (2022), Chad (2021), Indonesia (2015), Benin (2015) dan Brunei (2009).
“Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa Fifa tegas dalam menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan,” katanya.
Yeoh memberi amaran, penggantungan seperti itu bukan hanya akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan, malah ‘menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan’, termasuk Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dan Liga Malaysia.
Pada September, Fifa mengenakan tindakan ke atas FAM dan tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia selepas mendapati bahawa dokumen yang dipalsukan diserahkan bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Pemain terbabit terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Tomás Garcés; Rodrigo Julián Holgado; Imanol Javier Machuca; João Vitor Brandão Figueiredo; Jon Irazábal Iraurgui; dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa dari tarikh pemakluman.
FAM memfailkan rayuan selepas menerima penghakiman penuh badan bola sepak dunia itu pada 7 Okt.
Bagaimanapun, diumumkan semalam bahawa Fifa menolak rayuan itu dan mengekalkan semua tindakan.
Pasukan bola sepak kebangsaan juga akan dipotong mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung.