Mahkamah benar 7 tuduhan Muhyiddin dibicarakan bersama

Mahkamah benar 7 tuduhan Muhyiddin dibicarakan bersama

Hakim Azura Alwi berkata Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pertuduhan dibicarakan bersama jika mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin berdepan empat tuduhan salah guna kuasa manakala tiga pertuduhan atas kesalahan menerima dana dari aktviti haram.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen membenarkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga menerima dana dari aktiviti haram terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama.

Hakim Azura Alwi berkata Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pertuduhan dibicarakan bersama jika mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Ia juga akan menjimatkan masa dan sumber mahkamah,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Azura berkata selaras proses undang-undang pihak pendakwaan mesti terlebih dahulu mewujudkan kes prima facie dan kemudian membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah untuk mendapatkan sabitan.

“Tertuduh juga tidak akan merasa prejudis kerana dia akan dibenarkan membela diri pada masa sesuai,” katanya.

Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, untuk mendapatkan RM232.5 juta bagi partinya, Bersatu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas kesalahan salah guna kuasa yang dikatakan dilakukannya di Pejabat Perdana Menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Permohonan supaya semua pertuduhan itu dibicarakan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kerana berpendapat ia saling berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menarik balik permohonan membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram

Peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu Azura bahawa permohonan itu telah menjadi akademik.

Azura menetapkan pengurusan kes pada 18 Feb di mana beliau dia dijangka menetapkan tarikh perbicaraan.

Wan Shaharuddin yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Zander Lim berkata pihak pendakwaan berhasrat memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Selain Amer Hamzah, Muhyiddin turut diwakili K Kumaraendran dan Chetan Jethwani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.