Gambar disalah guna promosi produk, Hisham mahu saman

Gambar disalah guna promosi produk, Hisham mahu saman

Satu hantaran berbayar di Instagram mendakwa bekas ketua pengarah kesihatan itu 'terkenal kerana merawat pesakit tanpa menggunakan ubat-ubatan'.

Noor Hisham Abdullah
Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai berhati-hati dengan kenyataan palsu menggunakan nama dan gambarnya yang kini tular semula.
PETALING JAYA:
Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan gambar dan namanya untuk mempromosikan produk tanpa kebenarannya.

Dalam hantaran di Facebook, Hisham menyeru pengguna media sosial berhati-hati dengan kenyataan dan dakwaan palsu menggunakan nama dan gambarnya, yang kini kembali tular.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang dan berharap ini menjadi pengajaran kepada semua. Sila berhati-hati dan jangan percaya dakwaan tidak bertanggungjawab oleh penipu yang terdesak,” katanya.

Hisham turut berkongsi tangkap layar satu hantaran berbayar di Instagram yang menggambarkan beliau ‘terkenal kerana merawat pesakit tanpa menggunakan ubat-ubatan’.

Ini bukan kali pertama nama dan gambar Hisham yang juga seorang pakar bedah digunakan tanpa kebenaran.

Pada November 2023, Hisham mendakwa sebuah syarikat penjual herba tradisional Cina melakukan ‘pemasaran tidak bertanggungjawab’ selepas menggunakan gambar dan namanya untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Dalam satu gambar dimuat naik di X, Hisham menunjukkan apa yang kelihatan seperti satu keratan akhbar menggunakan gambarnya dalam artikel mengenai ramuan teh herba.

Perkara itu kemudian selesai selepas syarikat tersebut menyatakan Hisham tidak pernah memperakui mana-mana produk mereka dan tidak berniat untuk mengelirukan orang ramai.

Dalam kenyataan bersama, Hisham dan syarikat itu menyatakan bahawa ‘sebarang salah faham telah diselesaikan secara bersama’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.