
Dalam prosiding di depan Hakim Roslan Nor, peguam Noorazmir Zakaria mewakili Mujahid memaklumkan kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes.
“Sehubungan itu, kami bersetuju memohon kepada mahkamah agar permohonan ini ditarik balik, diketepikan dan tanpa sebarang perintah kos,” katanya.
Mujahid dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan tidak hadir di mahkamah.
Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama memaklumkan mahkamah, Takiyuddin atas kapasitinya sebagai setiausaha agung PAS memohon maaf kepada Mujahid berhubung hantaran di Facebook pada 2022, tanpa sebarang pengakuan liabiliti.
“Mujahid yang menghargai langkah mulia itu bersetuju menarik balik saman sivil berkenaan, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah kos,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak berkata, mereka memilih untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad selepas mempertimbangkan kesan saman dan kos guaman.
“(Keputusan ini) dibuat dengan mengambil kira isu lebih besar dan penting demi kepentingan negara yang memerlukan perhatian.”
Roslan merekodkan penyelesaian itu dan menyampaikan penghargaannya kepada kedua-dua pihak atas kesediaan mereka memenuhi keperluan mahkamah serta berunding bagi mencapai penyelesaian.
PAS diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.
Mujahid memfailkan saman terhadap PAS pada 2022 dengan mendakwa parti itu memfitnahnya melalui hantaran di Facebook bertajuk “Mantan menteri agama PH sokong LGBT?” yang diterbitkan pada 16 Okt 2022.
Beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, selain perintah supaya hantaran itu dipadamkan.