
Dalam pernyataan tuntutannya, bekas pemimpin Umno berusia 78 tahun itu menegaskan dakwaan Aliff bahawa beliau berhutang “puluhan juta ringgit” menjejaskan reputasi awamnya secara serius.
Kadir berkata, sekitar Julai 2023, Aliff menerusi laman Instagramnya mendakwa beliau, sebagai bekas menteri, sepatutnya kaya dan mampu melangsaikan hutang itu, tetapi mengelak membayarnya.
Aliff turut berkata, beliau tidak mahu mendedahkan sebab Kadir meminjam wang itu kerana ia akan memalukan Kadir serta keluarganya.
Hantaran itu disertakan gambar Kadir dan pembaca dipelawa meninggalkan komen.
Katanya, hantaran itu turut disiarkan di pelbagai laman web dan platform media sosial pada hari sama.
Dengan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah itu, Kadir berkata, tindakan Aliff secara sengaja, cuai dan melulu itu telah menyebabkan kerosakan besar terhadap nama baik, reputasi serta imejnya.
Katanya, ia seterusnya menyebabkan beliau malu dan berdepan tekanan emosi serta mendedahkannya kepada skandal awam, dihina dan dicemuh.
Menurutnya, ketika menjadi menteri dari 1996 hingga 2004, beliau meraih populariti meluas di dalam dan luar negara melalui usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Kadir berkata, beliau kini terbabit dalam industri hospitaliti dan mempunyai kepentingan dalam pelbagai resort pulau di Malaysia.
Beliau menafikan berhutang wang kepada Aliff.
Dalam tuntutan yang difailkan firma guaman S Ravichandaran & Anuar dua tahun lalu, Kadir menuntut ganti rugi am yang akan ditentukan mahkamah dan injunksi bagi menghalang Aliff terus menyiarkan kata-kata berunsur fitnah.
Beliau juga mahu Aliff menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat di semua akaun media sosialnya dan media lain.
Dalam pembelaan difailkan firma guaman Hasshahari & Partners pada 25 Okt 2023, Aliff bergantung kepada hujah justifikasi dengan mendakwa Kadir secara peribadi terbabit dalam usaha sama menerusi dua syarikat, Buckhingham By-The-Sea Sdn Bhd dan Pembangunan Utara Baru Sdn Bhd pada 2018.
Aliff berkata, beliau melabur RM30 juta dalam usaha sama itu dan Kadir memberi jaminan peribadi untuk memulangkan modal berkenaan, termasuk keuntungan dan faedah.
Kes ini akan didengar di depan Hakim Roslan Mat Nor, dengan Kadir satu-satunya saksi plaintif, manakala Aliff dan isterinya akan memberi keterangan bagi pihak defendan.