
Hakim Johan Lee memutuskan bahawa plaintif, KWSP, berjaya membuktikan kes terhadap keempat-empat defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Keempat-empat defendan bertanggungjawab secara bersama dan berasingan kepada plaintif bagi jumlah RM503,681, yang mewakili baki tertunggak caruman KWSP,” katanya dalam penghakiman bertulis setebal 36 muka surat yang dimuat naik di laman web badan kehakiman hari ini.
Lee turut mengarahkan defendan membayar dividen statutori ke atas baki tertunggak itu pada kadar 5% setahun bermula 1 Jan 2019 sehingga bayaran penuh jumlah penghakiman dibuat.
Defendan juga dipertanggungjawabkan untuk membayar caj bayaran lewat yang dikira pada kadar 6% setahun bermula 1 Jan 2019 menurut Seksyen 46(1) Akta KWSP 1991.
Hakim berkata tidak dipertikaikan bahawa Mukhriz, setiausaha kehormat ketika itu Anas Hafiz Mustaffa dan bekas ahli jawatankuasa Asmirul Anuar Aris merupakan pemegang jawatan sepanjang tempoh kegagalan tersebut, seperti yang dibuktikan melalui rekod korporat dan rekod KFA yang dikemukakan sebagai bahan bukti.

Mukhriz adalah presiden KFA ketika beliau menjadi menteri besar Kedah.
Dalam penghakimannya, Lee menolak hujahan defendan bahawa KWSP bersikap selektif dalam menamakan ketiga-tiga individu itu sebagai defendan, sambil menegaskan bahawa badan berkanun tersebut berhak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana atau semua pemegang jawatan.
Tindakan saman itu dihentikan terhadap lima lagi pemegang jawatan — Abdul Rahman Abdullah, Khamal Idris Ali, Yusuri Yusof, Shahrul Samsudin dan Ruzaini Radzi — selepas mereka membayar lebih RM1 juta.
KWSP memfailkan tindakan tersebut selepas KFA, sebagai majikan, gagal menjelaskan caruman bulanan untuk pemain-pemainnya selaras dengan peruntukan Akta KWSP 1991.
Menurut KWSP, jumlah prinsipal caruman yang tidak dibayar mencecah RM1,519,801.
Peguam Abd Shukor Ahmad, Aaron Aiman Thangarajoo dan Michelle Liew mewakili KWSP, manakala Ahmad Taufiq Baharum mewakili KFA.
Peguam Mior Haidir Suhaimi mewakili Mukhriz, Hafiz dan Anuar.