
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan, pentadbiran Anwar Ibrahim tidak perlu melayan desakan pembangkang dan terperangkap dengan naratif politik lama yang menyaksikan negara mengalami tiga perubahan pentadbiran dalam tempoh lima tahun selepas PRU14.

Katanya, ahli politik wajar menjadikan tokoh dari negara jiran seperti bekas presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Prabowo Subianto sebagai contoh pemimpin berjiwa besar dalam peralihan kuasa pentadbiran negara itu.
“Desakan tersebut adalah politik murahan, memualkan dan tidak matang…cukup-cukuplah kita bermain politik.
“Beri peluang kepada PMX (Anwar) serta kerajaan perpaduan habiskan penggal bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab mentadbir negara,” katanya kepada FMT.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada November 2022 dan penggalnya akan berakhir pada 2027.
Tawfiq mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendedahkan partinya masih bercita-cita untuk membentuk kerajaan sebelum PRU akan datang.
Perkara itu diakui Razman yang juga Adun Gunong Semanggol pada 22 Dis menerusi ceramah ‘Selamatkan Malaysia’ di markas parti itu di Kampung Gajah, Perak.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari juga menuntut Anwar meletak jawatan selepas menyatakan penafian kewujudan titah adendum tahanan rumah Najib Razak.
Katanya, ia mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dan merupakan pencabulan hak bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, pula menuduh Anwar sengaja menyembunyikan titah itu, sambil mendakwa beliau menafikan titah Agong yang merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara.

Tawfiq dan Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga senada supaya parti politik berhenti mengheret rakyat ke jalanan sebagai cubaan merosakkan kestabilan ketika ini.
“Cara paling matang adalah memposisikan politik pendidikan dengan membudayakan ilmu pengetahuan agar dapat mendidik rakyat berfikir dengan matang, bukannya mengheret mereka ke jalanan dan mengakibatkan ketidakselesaan awam,” kata Ariff.
Beliau khuatir jika budaya politik jalanan tidak dibendung oleh pemerintah, ia sekali lagi akan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat seperti berlaku ketika era reformasi lewat 90-an.
“Jika tidak ditangani ia akan merebak ke dalam pemikiran masyarakat dan seterusnya akan dibudayakan,” katanya.
Tawfiq pula berkata: “Suara-suara tebuk atap hanya akan menggugat usaha memulihkan ekonomi, membimbangkan pelabur, merosakkan usaha kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap pembangunan negara.”