Rai suara ahli, bekas naib presiden beritahu PKR

Rai suara ahli, bekas naib presiden beritahu PKR

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia bagi elak perpecahan besar dalam parti menjelang PRU16.

ANWAR IBRAHIM
Ketika ini PKR dilihat belum bersedia berdepan PRU16 di sebalik pelbagai usaha pimpinannya dalam kerajaan, menurut bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap teguran ahli parti itu dan rakyat diraikan kerana disuarakan atas sebab tertentu terutama demi kepentingan negara.

Nik Nazmi berkata, sebarang teguran tidak seharusnya diperkecilkan bagi mengelakkan perpecahan menjadi lebih besar menjelang PRU16.

Menurut Ahli Parlimen Setiawanga, setiap teguran dibuat baik rakyat, ahli dan bekas pimpinan mempunyai sebab bukan semata-mata untuk menjejaskan kerajaan perpaduan pimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau memberi contoh suara beberapa Ahli Parlimen PKR antaranya Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang) termasuk dirinya yang membangkitkan pelbagai isu pelantikan hakim tahun lalu sebagai sebahagian proses semak dan imbang, bukan membangkang.

“Kita sebagai ‘backbencher’ (penyokong kerajaan) ada kebebasan dan tetap undi luluskan belanjawan, tak tolak dan sokong kerajaan.

“Bukan nak cetus tebuk atap (jatuhkan kerajaan),” katanya dalam temu bual FMT.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata teguran rakyat, ahli dan bekas pimpinan mempunyai sebab bukan semata-mata untuk menjejaskan kerajaan perpaduan.

Beliau mengulas usaha mengelakkan perpecahan dalam PKR terutama selepas pemilihan pada Mei tahun lalu.

Nik Nazmi juga merujuk ucapan Anwar dalam Konvensyen PKR Selangor pada 7 Feb lalu yang menegaskan parti tidak mempunyai ruang untuk mereka yang ‘suka merengek dan berleter’.

Anwar dipetik berkata, mereka memerlukan pemimpin komited memperkukuhkan kedudukan parti itu yang menjadi sebahagian kerajaan perpaduan.

“Saya tak tahu ia ditujukan kepada siapa. Tapi kalau kita tengok banyak pandangan-pandangan itu ada sebabnya,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi turut mengakui, kerja keras Anwar dan beberapa pimpinan lain untuk memperkukuh PKR menerusi pelbagai usaha kerajaan seperti membanteras rasuah habis-habisan.

Katanya, isu rasuah memberi kesan besar kepada pengundi Melayu yang menjadi kunci perubahan kerajaan pada PRU14.

“Itu antara kesan kenapa Umno sampai sekarang pada tahap kritikal,” katanya yang bagaimanapun mendakwa ketika ini PKR masih belum bersedia berdepan PRU16.

Kebimbangannya berasaskan jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terlalu berharap formula kerajaan perpaduan kerana parti itu mempunyai jenama politik berbeza dengan Barisan Nasional atau Umno

Nik Nazmi berkata, pimpinan perlu melihat pelbagai isu berbangkit sepanjang kerjasama dalam kerajaan perpaduan antaranya ketegangan membabitkan Umno dan DAP.

“Lebih baik kita masuk (pilihan raya) dan tengok siapa lebih kuat, kemudian kalau tak cukup atau tiada pemenang jelas maka kita bentuk kerajaan perpaduan.

“Kalau berada dalam keadaan olok-olok dan ikatan tidak stabil ini, saya risau tidak akan selesai…malah jadi api yang membakar dalam sekam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.