Kerajaan terus fokus tambah baik kuarters uzur tentera, polis

Kerajaan terus fokus tambah baik kuarters uzur tentera, polis

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beberapa perancangan sedang dibincangkan sekarang dan ada pembaikan kuarters telah diambil tindakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian warga KDN pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan KDN dan Ihya’ Ramadan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan terus memberikan fokus kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang telah uzur demi keselesaan anggota pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata beberapa perancangan sedang dibincangkan sekarang dan ada pembaikan kuarters telah diambil tindakan.

“Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya (demikian juga) tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lepas RM1 bilion telah diberikan kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, Saifuddin Nasution dalam ucapannya memohon agar ketua setiausaha perbendaharaan melalui Belanjawan akan datang dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak pada satu pihak sahaja.

“Tanggungjawab membangunkan negara ini bukan tanggungjawab satu pihak. Sama sepertimana kita tengok aspek keamanan, ada kata ini tanggungjawab polis saja, tak betul. Ini tanggungjawab semua.

“Guna Ramadan ini sebagai masa kita kemaskan diri kita, perbaiki prestasi kita, betulkan apa-apa kekurangan dan kelemahan dalam diri kita. Kemudian usahakan supaya negara ini lebih teratur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada polis, Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain atas ketangkasan dan kecekapan mereka, namun mengingatkan supaya tidak leka.

“Saya bangga dengan prestasi tugas saudara-saudari setakat ini, tetapi jangan kita leka. Kita nilai diri kita sendiri… jangan kita merosot,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.