DAP bersidang Julai untuk semak peranan dalam kerajaan

DAP bersidang Julai untuk semak peranan dalam kerajaan

Kongres akan menentukan sama ada menteri-menteri DAP dan timbalan serta exco perlu lepas jawatan.

Setiausaha Agung Loke Siew Fook menegaskan DAP tidak akan tarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
DAP akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai untuk memutuskan sama ada pemimpinnya perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan perpaduan, sambil terus menyokong pentadbiran sekarang di Parlimen.

Setiausaha Agung Loke Siew Fook berkata 4,000 perwakilan yang menghadiri kongres itu kelak akan mengundi sama ada pemimpin mereka perlu meletakkan jawatan menteri, timbalan menteri, exco negeri, dan ahli majlis tempatan, serta lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan, lapor Sin Chew Daily.

Menurut Loke, kongres itu akan berfungsi sebagai ‘referendum dalaman’ memandangkan peristiwa ini kali pertama DAP menyerahkan keputusan sebesar ini kepada kongres, berbanding menyerahkan kepada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) memutuskan perkara tersebut.

Loke menegaskan Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong pentadbiran sekarang sehingga PRU akan dartang, walau apa pun keputusan kongres itu nanti.

Beliau juga menegaskan DAP tidak akan menarik balik sokongan kepada kerajaan perpaduan, atau mengambil bahagian dalam sebarang cubaan untuk membentuk ‘kerajaan pintu belakang’.

“Ini bukan satu ancaman, tetapi semakan peranan kami dalam kerajaan,” katanya, dan menambah sesetengah pemimpin DAP masih sedang menyesuaikan diri dengan tekanan berada dalam kerajaan selepas bertahun-tahun menjadi pembangkang.

“Kami akan memastikan kerajaan kekal stabil. Empat puluh Ahli Parlimen kami akan memastikan kerajaan stabil.”

Dalam pada itu, Loke menerangkan DAP menyerahkan kepada CEC untuk membuat keputusan berkenaan menyertai atau meninggalkan sesuatu gabungan, selaras perlembagaan parti.

“Bagaimanapun, memandangkan keadaan semasa, terutama kesan daripada PRN Sabah, adalah perlu bagi perwakilan untuk memutuskan hala tuju kita secara kolektif,” katanya.

“Kongres adalah badan pembuat keputusan tertinggi. Kami mahu proses itu lebih berinstitusi dan demokratik.”

Pada 2 Dis, Loke mengumumkan DAP akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang, susulan kekalahan teruk DAP dan Pakatan Harapan di Sabah, yang menyaksikan DAP tewas di semua lapan kerusi ditandingi.

Penganalisis politik mengingatkan rancangan mempercepatkan agenda reformasi berisiko dilihat sebagai sekadar “gula-gula politik” jika tidak disertai dengan langkah-langkah yang nyata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.