PAS tak tarik balik seruan ke himpunan solidariti Najib

PAS tak tarik balik seruan ke himpunan solidariti Najib

Takiyuddin Hassan berkata himpunan pada Isnin itu juga bertujuan mempertahankan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hasaan berkata kehadiran PAS ke himpunan solidariti Najib Razak, Isnin ini tidak menyanggah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS tidak berhasrat menyemak kembali seruan kepada ahlinya ke perhimpunan solidariti untuk Najib Razak di Putrajaya, Isnin ini di sebalik gesaan polis bagi menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Istana Negara semalam berhubung kuasa Agong berdasarkan berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurutnya, parti itu juga akur dan mendukung segala proses serta tatacara diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara itu melalui Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong.

Namun jelasnya, kehadiran PAS ke himpunan solidariti untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata himpunan itu berupa kehadiran secara aman rakyat merentasi kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka sebagai tanda solidariti terhadap bekas perdana menteri yang dalam usaha mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik.

“Ia di bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai ‘Titah Adendum’.

“Malangnya, timbul keraguan munasabah bahawa titah adendum ini yang terhasil dari kuasa prerogatif institusi Yang di-Pertuan Agong kelihatan dikhianati dan disembunyikan pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran diberikan.

“(Ia) lalu memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu, katanya, himpunan solidariti terbabit juga bertujuan mempertahankan kuasa prerogatif Agong daripada manipulasi, selain menyokong usaha sah Najib mendapatkan keadilan.

“Dengan itu PAS tiada hasrat menyemak kembali seruan telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Gesaan beliau itu menyusul kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Sebelum ini, Takiyuddin dalam surat dalaman kepada parti berkata himpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Agong.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun, dari 12 tahun selepas ia dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan susulan sabitan dalam kes SRC International.

Perhimpunan itu diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.