
Dalam artikel ini saya amat tertarik untuk membuat sedikit ulasan terhadap seruan Zaid Ibrahim dalam podcast baru-baru ini yang pada pertama kalinya menyeru satu kaum di Malaysia supaya membuat ‘Tsunami Melayu’ bagi menjatuhkan Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.
Dalam podcast tersebut, rakan saya, Zaid, seorang yang saya amat hormati, memberi sokongan padu kepada kawan kita, Dr Akmal Saleh, untuk menyahkan DAP dan kerajaan perpaduan yang diilhamkan Al-Sultan Abdullah, Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Kalau Tun M yang menyeru kepada ‘Payung Besar Melayu’, saya tak heran nak komen lah sebab kita semua maklum kenapa beliau nak meniup politik perkauman tahun 80-an dulu. Tetapi bila Zaid, seorang ‘rebel Melayu’ yang biasanya dikaitkan dengan pemikiran progresif, seolah-olah meniup sangkakala Tsunami Melayu, saya agak tergugup juga.
Tahun depan Malaysia akan sah 70 tahun dilahirkan. Dah jadi tua tetapi hati seakan-akan Tun M yang sudah 100 tahun merasa dunia. Walau apa pun, mari kita lihat sama ada sangkakala ini akan membawa pembaharuan kepada Malaysia seperti yang dicanangkan Zaid atau bencana besar bagi kita rakyat semua.
Mengikut fahaman saya, Zaid menggunakan ekspresi ‘Tsunami Melayu’ setelah beliau menggunakan ekspresi ‘Tsunami Malaysia’ yang banyak dikaitkan dengan ‘Tsunami Cina’ dalam PRU 2013 dan 2018. Zaid berpandangan orang Cina telah pun bersatu sebanyak dua kali untuk memastikan nasib mereka terpelihara, dan beliau amat terkilan dengan orang Melayu yang berpecah-belah langsung membawa rebah kepada kuasa sendiri, sejak zaman orang putih dulu sampai lah sekarang.
Bagi saya, pengaitan Tsunami Cina dan Tsunami Melayu amat berbaur perkauman. Zaid berkali-kali menidakkan tuduhan demikian. Katanya, seperti yang saya faham, this is the natural order of things. Untuk memastikan kuasa politik, sesuatu kaum itu perlu bersatu dan tidak berbelah bahagi seperti yang dibuat orang Cina. Saya tidak setuju terhadap logik ini. Logik simplistik ini adalah logik Akmal.
Memanglah dari satu aspek, perkauman senjata politik yang efektif untuk memenangkan pilihan raya dan mempastikan kuasa tetapi seperti kaedah ‘slash-and-burn‘ ia bisa mendatangkan pulangan cepat dengan kos murah namun kesan alam akan memusnahkan juga orang yang membakar hutan tersebut. Zaid, dalam podcast sama, mengimbau bagaimana pada PRU 1999 selepas Anwar dianiaya Tun M, Tsunami Cina menyelamatkan BN ketika Umno dihukum orang Melayu. Kalau begitu, bagi saya, tidak lah orang Cina bersikap perkauman tetapi kestabilan ekonomi dan keadilan saksama.
Bagaimana Tsunami Melayu boleh diusahakan? Zaid berpendapat bahawa Umno, melalui hulubalang favourite, Akmal Saleh, perlu bergabung dengan PAS. Bagi Zaid Ibrahim, PAS bukan sahaja parti politik yang terbesar dan terkuat dewasa ini tetapi juga mempunyai rekod ‘bersih rasuah’ dan perlu diberi peluang untuk mentadbir negara.
Zaid berpandangan PAS bukanlah parti ekstremis yang diuar-uarkan orang Cina dan bukan Melayu kebanyakan. Beliau menyebut bagaimana PAS tidak ekstrim dalam pemerintahan negeri dan juga menerima Perlembagaan Malaysia ketika mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat serta mengikut pengadilan mahkamah sivil. Dalam hal ini saya tidak bersetuju dengan rakan saya ini.
Saya lebih tahu sebab saya pernah menjadi penyokong dan ahli PAS selama 30 tahun sebagai seorang Islamis dan penyokong Reformasi. Pada zaman dahulu PAS memang sebuah parti yang bersih dan bergerak atas landasan agenda Reformis Islam. Tetapi sejak pemergian Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pucuk pimpinan jatuh ke tangan radikal seperti Hadi Awang, PAS bersekongkol dengan Umno dan Najib sebelum dan seketika PRU 2018. Apabila PAS merasai kuasa federal dalam Sheraton Move, ‘hilang’ segala kehidupan sederhana Abu Bakar, Umar Ibn Khattab dan Umar Ibn Aziz.
Dalam podcast itu juga Zaid bersungguh-sungguh menyokong tindakan ‘rebel’ Akmal sebagai pemimpin baru yang berani menentang Zahid Hamidi secara terang-terang. Walau ditegur Nurulhidayah dari sayap Wanita, Akmal masih menyanggah dengan cara emosi. Ini lah politik yang Zaid mahu.
Bagi Zaid, hanya Tsunami Melayu boleh mengimbangkan ketidakseimbangan ekonomi Melayu dan bukan Melayu. Saya bukan pakar ekonomi tetapi shopping mall saya pergi senang-senang ramai Melayu makan di Tony Roma’s atau entah apa nama restoran mahal-mahal. Dua puluh universiti awam penuh dengan ahli akademik Melayu dan beratus ribu graduan pun Melayu juga.
Kita nak juga tanya sewaktu Tun M, Pak Lah dan Najib memerintah kenapa tak imbang-imbang juga ekonomi Melayu? Malah, hanya dengan karisma Tun M serta kelincahan PKR-DAP, maka Umno jatuh merudum serta Najib disabit pertuduhan rasuah. Bolehkah Zaid Ibrahim guarantee yang Tsunami Melayu akan mengubah ketidakseimbangan dan rasuah? I don’t think so… and history is on my side of the argument.
Pada 1 Januari 2026, saya coretkan tulisan ini. Tahun 2026 ialah tahun keramat. Ia adalah tahun do-or-die untuk Umno dan kita juga rakyat Malaysia. Kalau Umno memilih jalan sukar untuk membuat perubahan bersama PH maka rakyat perlu memberi sokongan padu tidak berbelah-bahagi. Jika Umno menyahut seruan Zaid, negara kita akan terpelanting balik kepada politik perkauman dan caci mencaci.
Ketahuilah rakyat semua, gendang akan bergema Sabtu ini 3 Januari 2026. Save yourself a seat supaya kita lihat sama ada politik kosong dan teriakan akan memenuhi suasana politik kita, atau kita rakyat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan perlu mematikan kemarakan api perkauman dengan kesabaran, menangkis dengan segala keupayaan kita.
Ayuh, tiup sangkakala and let the games begin.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.