
Ketua Polis Pekan, Zaidi Mat Zin, berkata mangsa dikenali sebagai Nur Ezyyantie Aliakbar, 30 dari RPSB BT 8 Lepar, Pekan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kemalangan pada 8.15 malam itu membabitkan dua kenderaan iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V dan Perodua Myvi, yang masing-masing dinaiki empat individu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, SUV yang dipandu lelaki berusia 50 tahun menghala dari arah Kuantan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, manakala Myvi yang dipandu lelaki berusia 32 tahun pula dari arah Segamat, Johor menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, SUV terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Myvi yang sedang bergerak lurus.
“Akibat kemalangan itu, Nur Ezyyantie yang juga penumpang hadapan Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.
Zaidi berkata tujuh mangsa berusia antara dua dan 50 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.