Pemandu lori maut, 7 cedera nahas 3 kenderaan di Hulu Selangor

Pemandu lori maut, 7 cedera nahas 3 kenderaan di Hulu Selangor

Bas ekspres itu membawa 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu.

Bas ekspres dengan 31 penumpang terbabit nahas jbpm pic 5226
Keadaan di lokasi nahas tiga kenderaan di KM433 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Hulu Selangor awal pagi tadi. (Gambar JBPM Selangor)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas sebuah bas ekspres dan dua lori di KM433 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mangsa ialah pemandu lori 10 tan milik sebuah syarikat keselamatan.

“Dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, lelaki berusia 39 tahun yang juga kelindan lori itu patah tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Jelasnya, pemandu bas ekspres yang tersepit itu cedera di kepala serta kaki kiri, manakala tiga penumpang lelaki cedera ringan dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami pendarahan di hidung.

Katanya, pemandu treler pula cedera di leher, tetapi menolak dibawa ke hospital.

Menurutnya, 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa serta Rawang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.12 pagi tadi.

Keseluruhannya, beliau berkata, 31 individu terbabit insiden itu iaitu 16 lelaki, lima wanita dan tujuh kanak-kanak daripada bas ekspres; dua lelaki (lori 10 tan) serta seorang lelaki daripada treler.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.