Wanita disyaki pengedar dadah maut, rakan parah dalam kemalangan

Wanita disyaki pengedar dadah maut, rakan parah dalam kemalangan

Suspek yang parah turut dikesan memiliki 12 rekod jenayah lalu berkaitan dadah.

Dua wanita disyaki pengedar dadah terbabit nahas, seorang maut
Keadaan kereta dinaiki kedua-dua suspek disyaki pengedar dadah yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang wanita disyaki pengedar dadah maut, manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki terbabas dalam kejadian di Alor Setar, Kedah malam tadi.

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata kejadian berlaku pada 8.20 malam ketika anggotanya sedang melakukan Op Gempur di kawasan itu.

Katanya, polis mengejar Perodua Myvi dinaiki kedua-dua wanita terbabit kerana dilihat mencurigakan, sebelum berlakunya kemalangan.

“Seorang daripada suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi parah.

“Polis turut menemui satu plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 37 tahun yang parah itu dikesan memiliki 12 rekod jenayah lalu berkaitan dadah.

“Rakannya pula mempunyai tiga rekod kes dadah dan satu kes jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut dan suspek yang parah dirawat di hospital sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.