3 beranak maut nahas di Kulim

3 beranak maut nahas di Kulim

Mangsa korban terdiri daripada bapa Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin serta dua anaknya Muhammad Aqeel Afnan dan Muhammad Affan Mikhael.

Keadaan Perodua Viva selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Kob, Kulim, semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tiga mangsa korban nahas di Jalan Sungai Kob, Kulim, semalam disahkan seorang bapa dan dua anak lelakinya.

Timbalan Ketua Polis Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata mangsa ialah pekerja kilang, Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Katanya, kemalangan pada 5.15 petang Ahad itu membabitkan sebuah Proton S70 dan Perodua Viva.

Menurutnya, pemandu Perodua Viva dan dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada Proton S70 yang hilang kawalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Perodua Viva.

“Pemandu Proton S70 berusia 27 tahun adalah pekerja bengkel kereta dan kecederaan dialaminya masih dalam pemeriksaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat tiga beranak yang dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan tiga, termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Sungai Kob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.