Warga emas sekadar ‘terliur’ untung RM1.11 juta

Warga emas sekadar ‘terliur’ untung RM1.11 juta

Mangsa sedar ditipu selepas RM823,000 dilabur termasuk 'untung' mahu dikeluarkan memerlukan sejumlah wang lain dibayar.

Shahrulanuar Mushaddat-
Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa berusia 61 tahun tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki warga emas kerugian RM823,000 selepas terpedaya iklan pelaburan di Facebook yang menawarkan kadar pulangan untung tinggi.

Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa berusia 61 tahun tertarik dengan iklan dipaparkan, pada 23 Sept lalu berhubung dengan individu tidak dikenali di Whatsapp.

“Antara tempoh 8 Nov hingga 17 Dis, mangsa memasukkan wang dalam dua akaun bank berbeza secara berperingkat berjumlah RM823,000.

“Selepas melihat keuntungan diterima sebagaimana ditunjukkan di aplikasi pelaburan tersebut RM1.11 juta, mangsa ingin mengeluarkan wang, namun mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa mula curiga dengan kesahihan urusan pelaburan dan sedar ditipu, namun tidak membuat sebarang pembayaran seperti diminta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis menasihati orang ramai tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan menjanjikan kadar pulangan keuntungan lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.