Warga emas rugi lebih RM60,000 kerana nak ‘buang sial’

Warga emas rugi lebih RM60,000 kerana nak ‘buang sial’

Wanita berusia 70an serah wang tunai serta barang kemas berjumlah RM60,794 kepada wanita warga asing sebagai syarat ritual.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili nasihati orang ramai agar tidak mudah percaya individu tidak dikenali tawar rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial dengan meminta wang tunai atau barang kemas. (Gambar Bernama)
SIBU:
Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan tawaran seorang bomoh yang kononnya mampu membuang sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarganya.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa berusia dalam lingkungan 70-an didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan pasar Sibu, bertanyakan tentang lokasi kedai ubat tradisional Cina.

“Menurut mangsa, berdasarkan loghat percakapan wanita itu, suspek disyaki warga China,” katanya dalam kenyataan.

“Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat sama turut bertanyakan lokasi tempat sembahyang untuk membuang sial.”

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa berjalan kaki ke kawasan tempat letak kenderaan berdekatan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan bersama-sama wanita-wanita asing terbabit.

“Mangsa dimaklumkan bahawa dirinya mempunyai sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarga sekiranya tidak dibuang melalui ritual khas.

“Akibat ketakutan, mangsa akur dengan arahan suspek,” katanya.

Zulkipli berkata, mangsa kemudian menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM60,794 sebagai syarat ritual.

Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberi bungkusan plastik hitam dan diarahkan supaya membukanya selepas seminggu.

Namun, apabila anak mangsa membuka bungkusan itu, ia hanya mengandungi mi segera, 1kg garam dan empat botol air mineral. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis.

Zulkipli berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu menerima laporan pada hari sama dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial dengan meminta wang tunai atau barang kemas.

“Jangan mudah terpedaya dengan ugutan atau janji yang menimbulkan rasa takut kerana ia boleh menjadikan anda mangsa penipuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.