
Beliau berkata sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur dan gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai.
“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) bagi tempoh 2023 hingga Ogos lalu mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.
“Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata Meta bagaimanapun memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.
Katanya, kegagalan banteras aktiviti jenayah siber memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat.
Tegasnya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital.
“Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.
“Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata setakat setakat 19 Sept lalu 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada Meta bagi platform Facebook sahaja.
Katanya, jumlah itu mewakili 59% daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.
“Daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.
“Manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan. Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya.