
Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail, berkata wanita berusia 40-an mengetahui skim itu daripada seorang warga China dikenali pada 10 Ogos menerusi Instagram sebelum berhubung menggunakan WhatsApp.
“Suspek memaklumkan ada melabur dalam mata wang kripto dengan pulangan 20% dan menghantar pautan berkaitan serta mengajar mangsa untuk menyertai pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan.
Nasir berkata, mangsa mula melabur RM8,740 pada 22 Ogos dan mendapat pulangan sebelum menggandakan pelaburan menerusi 12 transaksi pemindahan wang dalam talian ke sembilan akaun dari 26 Ogos hingga 5 Sept.
Mangsa membuat laporan polis pada 4.19 petang semalam, selepas sedar ditipu kerana diarahkan membuat pinjaman bank untuk menambah jumlah pelaburan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.