Lagi kes penuntut IPT dipukul beramai-ramai

Lagi kes penuntut IPT dipukul beramai-ramai

Kes berlaku di IPT di Perak selepas kejadian hampir sama di institusi pengajian tinggi di Terengganu pada Ahad.

buli-abuse
Ketua Polis Perak Tengah Hafezul Helmi Hamzah, berkata polis menahan tiga pelajar dengan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Lagi kejadian pelajar universiti dipukul beramai-ramai dengan kes baru berlaku di institusi pengajian tinggi (IPT) di Seri Iskandar, Parit, Perak.

Susulan itu, tiga pelajar ditahan dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perak Tengah Hafezul Helmi Hamzah, berkata penahanan remaja berusia 18 hingga 20 tahun dibuat selepas menerima laporan bapa mangsa, pada Selasa.

Beliau berkata, dalam laporan itu, bapa mangsa mendakwa anaknya berusia 18 tahun telah dipukul beramai-ramai oleh rakan kuliah di asrama IPT terbabit.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian telinga, luka, dan bengkak kening kanan, lebam di tangan dan kaki kiri serta kesan merah di perut, dan tengkuk.

“Polis dimaklumkan mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan berada keadaan stabil,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, kejadian berlaku berpunca daripada selisih faham dan provokasi antara mereka di bilik asrama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sebelum ini, pelajar berusia 20 tahun di IPTA Terengganu dipukul bergilir-gilir menggunakan objek tumpul dipercayai kayu dengan 12 penuntut direman empat hari sehingga esok, dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin, berkata hasil pemeriksaan doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan organ dalaman atau patah tulang dikesan, namun mangsa mengalami lebam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.