Lelaki mengaku tak salah pandu melulu, gagal henti kereta

Lelaki mengaku tak salah pandu melulu, gagal henti kereta

Sum Kah Fei didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran di SPE Ahad lepas, mengakibatkan penunggang motosikal cedera parah.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan jaminan terhadap Sum Kah Fei sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sebelum ini tular kerana disyaki melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) pada Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.

Sum Kah Fei, 34, mengaku tidak bersalah selepas dua tuduhan terhadapnya, iaitu memandu secara melulu sehingga berlaku kemalangan dan tidak berhenti selepas kemalangan itu, dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.

Mengikut tuduhan pertama, Sum yang juga seorang peniaga didakwa memandu kenderaan secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal, menyebabkan mangsa Muhammad Nur’Faiz Saini @ Ausaini, 34, mengalami kecederaan parah.

Kemalangan itu didakwa berlaku di sekitar SPE dari arah pusat bandar raya menghala ke Tol Wangsa Maju, pada 12.35 tengah hari, 15 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Sum didakwa gagal memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan itu pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 52(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahjiman menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan itu.

Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 24 Feb tahun depan untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.